mutakhir

Penuntut UniKL maut kemalangan

Oleh Rosli Ilham

PENUNTUT Universiti Kuala Lumpur (UniKL) maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta di Kilometer 120 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kompleks Rantau Petronas, dekat Kemasik, Chukai, hari ini.

Dalam kejadian 5 petang itu, Mohamad Akram Nordin, 25, dari Gong Chengal, Kemasik meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR dalam perjalanan dari arah Kemasik menghala ke Kerteh.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah Proton Wira dikatakan keluar dari simpang susur keluar untuk masuk ke jalan utama menghala ke Kemaman.

“Keadaan jarak yang terlalu dekat menyebabkan mangsa gagal membrek lalu merempuh bahagian pintu belakang Proton Wira dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan di kepala dan anggota badan,” katanya.

Mohd Said berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

Katanya, pemandu kereta Proton Wira tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan,” katanya.

Disiarkan pada: June 3, 2019 @ 11:20pm
d