mutakhir

Henti kumpul dana rumah terbuka Aidilfitri

Oleh Norizuan Shamsuddin

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran untuk mengenakan tindakan tukar serta-merta kepada pegawai atasan termasuk Ketua Polis Daerah (KPD) yang mengerah anggotanya untuk mengumpul dana bagi kepentingan peribadi termasuk mengadakan majlis sambutan Aidilfitri.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya sudah memberikan arahan secara dalaman kepada semua KPD dan pegawai atasan berikutan terdapat rungutan dalam kalangan anggota berhubung perkara berkenaan.

“Walaupun amaran keras dan jelas sudah diberikan sebelum ini, masih ada pegawai mengerah anggota bawahan untuk mengumpul dana demi kepentingan peribadi.

“Jika sumbangan itu hasil daripada wang kelab atau kutipan dalam kalangan mereka tak apa, namun jika sampai meminta daripada individu atau syarikat, saya tidak izinkan.

“Sekiranya tindakan itu masih diteruskan tindakan tegas akan diambil termasuk ditukarkan serta-merta,” katanya ketika ditemui selepas hadir pada Kempen Balik Kampung Op Selamat 15 di Plaza Tol Gombak arah timur, hari ini.

Abdul Hamid berkata, pelaksanaan majlis seperti rumah terbuka atau sebagainya bukanlah menjadi keutamaan untuk dianjurkan di setiap cawangan PDRM.

“Masyarakat tidak akan merajuk atau melancarkan protes jika polis tidak menganjurkan rumah terbuka sempena Aidilfitri, justeru ia tidak perlu dianjurkan jika tiada kemampuan.

“Namun, terdapat sesetengah pegawai beranggapan ia satu kejayaan jika dapat menganjurkan majlis hari raya di balai dengan menyediakan makanan mewah, namun amat memalukan kerana wang diperoleh daripada orang luar.

“Apa yang memburukkan lagi apabila ia datang daripada sumber tidak halal, itu yang saya tegah,” katanya.

Sebelum itu, satu mesej di aplikasi WhatsApp berhubung arahan Abdul Hamid yang mengarahkan pegawainya untuk menghentikan aktiviti mengumpul dana terbabit tersebar di media sosial, hari ini.

Difahamkan kenyataan terbabit dikeluarkan sebagai arahan dalaman kepada semua pegawai atasan termasuk KPD sebagai peringatan atau amaran bagi menghindarkan daripada melakukan perbuatan itu.

“Saya sekali lagi mengulangi amaran saya supaya perbuatan keji dan terkutuk seumpamanya ini, dihentikan serta-merta sebelum padah menimpa diri dan tindakan keras diambil ke atas mereka yang terbabit.

“Jangan gadai maruah diri serta pasukan dan tidak segan silu bergelumang dengan najis rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Disiarkan pada: June 4, 2019 @ 2:11am
d