mutakhir

'Bereh doh boh'

Oleh Baharom Bakar

KERAJAAN negeri bersetuju melanjutkan tempoh perniagaan sehingga malam Aidilfitri sebagai memenuhi tuntutan lebih 1,000 peniaga di tapak niaga bazar Ramadan di Dataran Shah Bandar di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Dr Alias Razak berkata, peniaga dituntut memenuhi janji membersih sendiri semua kawasan perniagaan selepas menutup perniagaan pada malam Aidilfitri yang dijangka Rabu ini.

Katanya, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan menyediakan tong sampah mencukupi bagi memudahkan peniaga membuang sampah dikumpul dalam plastik hitam mengandungi bekas pembungkus pakaian.

“MBKT termasuk pegawai daripada Jabatan Kesihatan Persekitaran memantau kerja pembersihan dilakukan peniaga seperti yang mereka janjikan ketika meminta kerajaan negeri melanjutkan tempoh perniagaan yang sepatutnya berakhir malam ini.

“Jika kerajaan negeri dan MBKT bersetuju memenuhi permintaan dan menarik balik larangan berniaga pada malam raya seperti dikeluarkan awal Mei lalu, peniaga juga diminta membersih kawasan perniagaan dan perlu siap sebelum solat Aidilfitri,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Wisma Darul Iman, semalam.

Sebelum ini, kerajaan negeri meluluskan permit kepada semua peniaga di bazar Ramadan di Dataran Shah Bandar bermula 3 Mei dan berakhir malam ini bagi membolehkan kerja pembersihan kawasan itu dilakukan selain memberi peluang kepada pekerja bahagian kebersihan MBKT berhari raya bersama keluarga.

Sebelum permit niaga diluluskan MBKT, semua peniaga termasuk yang menjual pakaian, biskut raya dan pelbagai peralatan perhiasan bersetuju dergan tempoh perniagaan ditetapkan, tetapi merayu kerajaan negeri mengkaji semula arahan larangan berniaga pada malam raya dengan memberi alasan malam itu jualan amat laris.

Dr Alias yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Bukit Tunggal berkata, tujuan kerajaan menetapkan malam ini sebagai tempoh terakhir perniagaan dan dipersetujui semua peniaga bagi memberi peluang pekerja kebersihan bertugas.

“Kebajikan semua pekerja di bahagian kebersihan perlu diutamakan kerana mereka tidak bercuti menyambut hari lebaran bersama keluarga berikutan perlu membersihkan tapak bazar sehingga awal pagi Aidilfitri dan menyambung semula tugas selepas solat sunat hari raya,” katanya.

Mengulas tindakan diambil jika peniaga gagal menunaikan janji, Dr Alias yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Bukit Tunggal berkata, peniaga mungkin kehilangan wang pendahuluan kebersihan selain syarat lebih ketat termasuk mengehadkan tempoh jualan tahun depan.

“Jika kerajaan negeri berpuas hati dengan tahap kebersihan di tapak perniagaan terbabit kerajaan berjanji tidak menetapkan tempoh tahun depan,” katanya.

Disiarkan pada: June 4, 2019 @ 6:20am
d