mutakhir

350,000 akaun bank baharu untuk baki penerima BSH

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

BANK Simpanan Nasional (BSN) berjaya mewujudkan hampir 350,000 akaun bank baharu secara automatik susulan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang tidak dapat dikreditkan bayaran bantuan itu ke dalam akaun bank.

Kementerian Kewangan menerusi kenyataannya memaklumkan, akaun bank baharu itu diwujudkan mulai semalam atas nama isteri pemohon BSH.

“Seperti yang diumumkan oleh Kementerian Kewangan pada 31 Mei lalu mengenai pembayaran fasa kedua BSH 2019, daripada 3.6 juta isi rumah yang diluluskan BSH 2019, terdapat 0.3 juta penerima tidak dapat dikreditkan bayaran BSH ke dalam akaun bank.

“Sebab utama bayaran gagal dikreditkan adalah nombor akaun bank yang didaftarkan tidak tepat.

“Ini terbangkit apabila antaranya pemohon mengisi nombor akaun bank suami dalam ruang untuk diisikan nombor akaun bank isteri,” katanya, hari ini.

Menurut kenyataan itu, justeru penerima yang terbabit boleh hadir ke cawangan BSN bagi urusan pengaktifan akaun dan seterusnya pengeluaran tunai daripada akaun adalah mulai hari ini.

Sekiranya ada sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2747 serta emel kepada bsh@treasury.gov.my.

Disiarkan pada: June 4, 2019 @ 12:46pm
d