mutakhir

Hidup daif, rumah dipenuhi sampah

Oleh Mohd Khidir Zakaria

WANITA warga emas bersama anak lelakinya yang lembam hidup dalam kedaifan dan terpaksa tinggal dalam rumah dipenuhi sampah.

Keadaan Mahani Abd Rahman, 80, yang sudah uzur membuatkan dia hanya mampu terlantar dan mengharapkan anak lelakinya, Zarin Sharif, 40, menguruskan diri serta rumah itu.

Mahani berkata, kehidupan seharian mereka bergantung dengan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), selain Zarin turut melakukan kerja sambilan sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Kami menyewa di rumah ini dengan kadar RM140 sebulan. Walaupun keadaan rumah sudah usang, kami tiada pilihan kerana tidak mempunyai rumah sendiri dan tidak mampu menyewa rumah lain.

“Saya juga sudah sayangkan rumah ini yang dihuni sejak hampir 30 tahun. Disebabkan itu, saya tidak mahu berpindah dan ini ‘syurga’ kami,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Air Meleleh di Port Dickson.

Terdahulu, Mahani dan anak lelakinya menerima kunjungan Pegawai Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung, Dr M Segar yang menyampaikan sumbangan makanan kepada dua beranak itu.

Menurut Mahani, seorang lagi anaknya yang tinggal berhampiran sering membantu dia dan Zarin.

Sementara itu, Dr Segar berkata, pihaknya akan berbincang dengan Majlis Pengerusi Keselamatan dan Kampung (MPKK) Kampung Arab, Rahamat Ishak mengenai bentuk bantuan yang wajar diberikan kepada keluarga itu.

Malah, katanya, pihaknya juga akan mengadakan gotong-royong membersihkan sampah di rumah dan kawasan sekitar rumah berkenaan.

“Rumah ini terlalu uzur dan tidak selamat untuk diduduki. Kami akan bawa perkara ini dalam mesyuarat akan datang bagi mencari jalan penyelesaian sama ada menyediakan kediaman lebih selesa untuk mereka,” katanya.

Disiarkan pada: June 4, 2019 @ 3:08pm
d