mutakhir

Tiga sekawan parah

Oleh Garret Dawum

KEMERIAHAN sambutan Hari Gawai Dayak tiga sekawan berakhir tragedi selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 13 Jalan Bau-Serikin, Bau, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, ketiga-tiga mangsa berusia 16 hingga 20 tahun masing-masing menunggang motosikal secara bersendirian.

“Dalam kejadian 12.05 tengah malam itu, ketiga-tiga remaja lelaki itu dipercayai menunggang motosikal dengan laju sebelum bertembung sesama sendiri.

“Ketiga-tiga mangsa cedera parah di bahagian badan dan dua daripadanya dibawa ke Hospital Bau sebelum dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS), sementara, seorang dirawat di Hospital Bau,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, siasatan awal di lokasi kemalangan mendapati keadaan jalan gelap dan tiada lampu jalan.

“Sampel darah ketiga-tiga mangsa juga diambil untuk dianalisa oleh Jabatan Kimia Kuching bagi membantu siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuaaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau, Inspektor Mahadir Samah di talian 016-5827772 atau

Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Rahiman di talian 013-9892382,” katanya.

Disiarkan pada: June 4, 2019 @ 3:12pm
d