mutakhir

3 pengedar dadah dicekup [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

TIGA pengedar dadah ditahan dalam tiga serbuan berasingan di daerah Kepala Batas, semalam dan tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, sempena musim perayaan polis menggiatkan operasi membanteras penyalahgunaan dadah secara habis-habisan.

Berikutan itu, sepasukan polis menyerbu beberapa rumah di kawasan Mak Mandin, Butterworth dan Raja Uda.

“Serbuan pertama diadakan di Butterworth dan Mak Mandin antara 1 hingga 3 pagi apabila polis menahan dua lelaki berusia 36 dan 37 tahun.

“Dalam serbuan itu, polis merampas 610 biji pil eramin 5 dan 17.8 gram syabu bernilai RM12,500 selain menyita sebuah motosikal serta wang tunai RM1,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, hari ini.

Noorzainy berkata, serbuan kedua pula diadakan di Jalan Bunga Tanjung, Raja Uda dan lelaki, 40, ditahan selepas pemeriksaan menemui sejumlah dadah dipercayai heroin bernilai RM800 pada 12.30 tengah malam tadi.

“Siasatan awal mendapati kesemua dadah itu adalah untuk pasaran tempatan.

“Ketiga-tiga mereka kini direman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: June 4, 2019 @ 5:18pm
d