mutakhir

Padah maki polis trafik

Oleh Muhammad Apendy Issahak

REMAJA lelaki berusia 18 tahun ditahan selepas dipercayai mengeluarkan perkataan lucah terhadap anggota polis yang sedang bertugas mengawal lalu lintas di Jalan Pasar Taiping, hari ini.

Dalam kejadian 12.29 tengah hari itu, tiga anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping sedang membuat tugas kawalan tarfik di kawasan bandar Taiping.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, anggota polis yang bertugas mengeluarkan saman atas kesalahan abai isyarat lalu lintas ke atas sebuah kereta.

“Ketika saman dikeluarkan, tiba-tiba pemandu kereta berkenaan mengeluarkan perkataan lucah dan semasa perkataan diucapkan ianya jelas didengar oleh anggota polis berkenaan.

“Tangkapan kemudian dibuat terhadap remaja terbabit dan dibawa ke IPD Taiping untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di Taiping, hari ini.

Menurutnya, semakan mendapati remaja berkenaan menetap di Taman Pengkalan Cemerlang, Taiping dan adalah peniaga bazar namun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Tiada sebarang pergelutan atau kecederaan ketika remaja terbabit ditahan dan kes berkenaan diklasifikasi mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

“Polis hanya menjalankan tanggungjawab bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan berusaha memastikan kesesakan lalu lintas terutama musim perayaan dapat dikurangkan dan harap masyarakat mematuhi undang-undang demi kebaikan semua,” katanya.

Disiarkan pada: June 4, 2019 @ 6:27pm
d