mutakhir

Buang rangka motosikal dalam sungai

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

TINDAKAN seorang lelaki membuang rangka motosikal curi ke dalam sungai bagi melupuskan bahan bukti tidak berhasil apabila dia diberkas polis pada 30 Mei lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, tangkapan membabitkan suspek berusia 24 tahun di rumahnya di Tali Air 8, Sekinchan, dilakukan pada 12.35 tengah hari.

Beliau berkata, pemilik motosikal Kawasaki KR-150 sebelum itu membuat laporan polis pada 27 Mei lalu berhubung kehilangan motosikal miliknya.

“Bertindak atas maklumat dan hasil risikan, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam berjaya memberkas suspek.

“Hasil soal siasat mendapati suspek mengaku melakukan jenayah itu di kawasan Sekinchan,” katanya kepada sidang media di IPD Sabak Bernam, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut di rumah suspek, polis merampas beberapa komponen Yamaha 150RR iaitu sepasang spot rim, mud guard, arm belakang dan dua unit ekzos.

Menurutnya, suspek turut membawa polis ke sungai Ban Kenal bagi menunjukkan dua rangka Kawasaki KR-150 yang dibuang bagi melupuskan bahan bukti.

“Jarak lokasi rangka motosikal dibuang dengan rumah suspek kira-kira 2 kilometer dan hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah selain tidak mempunyai rekod lampau.

“Suspek direman selama 4 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan (KK),” katanya.

Disiarkan pada: June 4, 2019 @ 6:58pm
d