mutakhir

Iftar di Masjidil Aqsa meriah

Oleh Yusmizal Dolah Aling

BIARPUN menerima pelbagai tekanan daripada rejim zionis khususnya ketika ingin beribadat di Kompleks Al Aqsa, ratusan umat Islam tetap memeriahkan kawasan suci itu dengan majlis iftar pada malam terakhir Ramadan.

Ternyata, di sebalik segala rintangan yang dihadapi, mereka tetap bersemangat untuk mengimarahkan kawasan yang menempatkan masjid ketiga suci umat Islam itu dengan beramai-ramai berbuka puasa sebelum meneruskan ibadat di situ.

Pengarah Wakaf Infaq Aqsa Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia ( MAPIM) Johan Ariff Ismail berkata, menerusi Iftar @Masjid Al Aqsa, pihaknya menyalurkan bantuan kepada saudara seagama seperti klinik bergerak dan tambahan katil pesakit.

Selain itu, bantuan berupa alat perubatan dan kemudahan rawatan sokongan kepada Jabatan Awqaf Aqsa turut diberikan kerana jumlah mereka yang memerlukan didapati meningkat.

“Dianggarkan antara 100 hingga 500 pesakit dirawat sebagai pesakit luar sehari sepanjang Ramadan tahun ini.

“Iftar kali ini dianjurkan agak besar meliputi dua lokasi iaitu di hadapan Masjid Qibli dan di Kem Pelarian Ar Roub yang terletak lima kilometer dari Kompleks Masjidil Aqsa,” katanya kepada Harian Metro.

Johan Ariff berkata, beberapa projek Wakaf Infaq Aqsa terus dilaksanakan walaupun menerima halangan antaranya ialah membantu membangunkan klinik bergerak di dalam kompleks, seonajang bulan puasa ini.

Klinik bergerak Masjidil Aqsa sumbangan MAPIM ini meliputi bantuan ambulans ‘buggy’ untuk membawa pesakit ke dua klinik yang terdapat di dalam kompleks.

“Semangat saudara kita di sana begitu membara walaupun ketika berpuasa... Insya-Allah kita akan terus gerakkan bantuan ke sana menerusi Jabatan Awqaf yang bekerjasama untuk pelbagai projek jangka masa panjang,” katanya.

Disiarkan pada: June 4, 2019 @ 9:46pm
d