mutakhir

Sultan Nazrin ziarah pusara ayahanda

Oleh Shaarani Ismail

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menziarahi pusara ayahanda, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, serta bersama bertahlil di Makam Diraja berkenaan selepas selesai solat sunat Aidilfitri hari ini.

Terdahulu, baginda menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama kira-kira 2,000 jemaah lain di Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar.

Keberangkatan tiba baginda kira-kira 8.30 pagi disambut Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, barisan EXCO Kerajaan Negeri dan beberapa orang kenamaan lain.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Sebaik selesai menunaikan solat dan menziarahi pusara ayahanda, baginda kemudian berangkat pulang ke Istana Iskandariah, sekitar 9.45 pagi.

Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dijadualkan turut berkenan berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Perak di perkarangan Stadium Indera Mulia petang ini.

Majlis rumah terbuka yang turut disertai pelbagai agensi kerajaan negeri dan Persekutuan itu dijadualkan bermula 2.30 petang dan tamat pada 5.30 petang.

Disiarkan pada: June 5, 2019 @ 11:04am
d