mutakhir

Cari padah malam raya

Oleh Zuliaty Zulkiffli

EMPAT motosikal disita manakala 187 saman dikeluarkan membabitkan 195 kesalahan trafik yang dilakukan pengguna jalan raya ketika Operasi Samseng Jalanan di Alor Setar hari ini.

Operasi yang dilaksanakan sempena malam Aidilfitri oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kota Setar (BSPTD) itu memberi tumpuan di kawasan lampu isyarat Kepala Batas, Alor Setar.

Ketua Polis Daerah Kota Setar , Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, operasi bermula 12 tengah malam dan berakhir enam jam kemudian itu turut memeriksa kenderaan lain yang melalui kawasan berkenaan.

Dalam operasi itu, 294 penunggang dan pembonceng diperiksa.

“Selain itu juga, kita turut memeriksa 250 motosikal, 25 kereta, tujuh van serta tiga lori pikap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, ibu bapa serta penjaga perlu menitikberatkan pengawasan anak masing-masing supaya tidak terjebak dengan aktiviti yang tidak sihat ini kerana perbuatan ini akan menjejaskan masa depan anak muda.

“Antara saman yang dikeluarkan membabitkan kesalahan tiada lesen dan cukai jalan tamat tempoh, mengubahsuai kenderaan, penunggang bawah umur serta pelbagai kesalahan trafik lain,” katanya.

Disiarkan pada: June 5, 2019 @ 4:41pm
d