mutakhir

Sambutan masih dirasai

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

MESKIPUN Pahang masih lagi berada dalam tempoh berkabung berikutan kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah 22 Mei lalu, namun kemeriahan majlis sambutan Aidilfitri Menteri Besar Pahang di Kuantan hari ini tetap dirasai.

Lebih manis lagi, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli berangkat ke majlis berkenaan.

Baginda berdua tiba di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah pada 4.05 petang dan disambut Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta isteri, Datin Seri Burhah Mohammed.

Turut sama berangkat ke majlis itu adalah anakanda baginda, Tengku Amir Nasser, Tengku Puteri Iman Afzan, Tengku Ilisha Ameera, Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah serta Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Abdul Fahd Mu’adzam Shah.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah turut menyantuni orang ramai yang berbaris menyambut ketibaan baginda untuk bersalaman.

Meskipun majlis tidak dialunkan dengan sebarang bunyi-bunyian dan muzik bagi menghormati tempoh berkabung, namun kemeriahannya tetap dirasai.

Hadir sama sama memeriahkan majlis itu adalah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta beberapa barisan exco kerajaan negeri.

Terdahulu majlis yang bermula 11 pagi itu menerima kehadiran kira-kira 7,000 orang yang datang dari sekitar Kuantan.

Antara juadah yang dihidangkan kepada tetamu adalah rendang, lemang, laksa Pahang dan nasi minyak.

Disiarkan pada: June 5, 2019 @ 6:44pm
d