mutakhir

Maut motosikal rempuh MPV

Oleh Safuri Kamarudin

REMAJA lelaki maut apabila motosikal ditungganginya melanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Badang-Malau berhampiran Kampung Kuala Nau, Baling, hari ini.

Dalam kejadian 4 petang itu. mangsa, Muhamad Nur Shahbani Bahari, 15, dari Taman Sena, Labu Besar, Baling parah sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusof berkata, mangsa yang menunggang motosikal Honda EX-5 dalam perjalanan dari Badang ke Malau sebelum merempuh belakang MPV Proton Exora.

“Mangsa dipercayai menunggang dengan laju dan tidak memakai topi keledar menyebabkannya parah di kepala dan tengkuk.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Tawar yang tiba sejurus selepas kemalangan itu,” katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan adalah kemalangan maut pertama berlaku pada Aidilfitri membabitkan seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Labu Besar, Baling.

Menurutnya, mangsa dihantar ke Bilik Mayat Hospital Kulim untuk proses bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Disiarkan pada: June 5, 2019 @ 11:28pm
d