mutakhir

Sistem keselamatan kebakaran 300 premis meragukan

Oleh Baharom Bakar

DIANGGARKAN lebih 300 premis, termasuk kompleks beli-belah, pasar raya dan hotel di seluruh negara yang menjadi kunjungan orang ramai diarah melakukan penambahbaikan sistem keselamatan kebakaran.

Ketua Seksyen Bahagian keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM,) Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, Azlimin Mat Noor berkata, berikutan sistem keselamatan kebakaran premis berkenaan meragukan.

Katanya, pemilik premis itu sudah diarah memperbaiki segera sistem kebakaran demi keselamatan pengunjung jika berlaku kejadian tidak diingini.

“JBPM melakukan pemeriksaan mengejut termasuk menguji sistem kebakaran di 1,200 kompleks beli-belah, termasuk pasar raya dan hotel di negara sejak awal Ramadan.

“JBPM juga meminta kerjasama orang ramai agar melaporkan mengenai kesalahan mengenai tahap keselamatan kebakaran di premis yang dikunjungi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyantuni pegawai dan anggota bomba yang bertugas pada sambutan aidil fitri pertama di balai bomba (BB) Kuala Krai dan BB Sungai Durian, di Kuala Krai, petang semalam.

Azlimin berkata, pemeriksaan sistem keselamatan kebakaran di semua premis yang menjadi tumpuan orang ramai akan terus dipantau bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Sementara itu, mengulas mengenai program pegawai kanan yang pulang bercuti diarahkan menyantuni pegawai dan anggota bomba yang bertugas pada hari raya pertama, Azlimin berkata, kunjungan itu mampu memberi motivasi buat anggota yang bertugas.

Katanya, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid mengarahkan pegawai kanan yang pulang bercuti di kawasan kampung halaman masing-masing singgah ke balai bomba terdekat bagi menyemarakkan suasana perayaan kalangan pegawai dan anggota bomba yang terpaksa bertugas.

Disiarkan pada: June 6, 2019 @ 9:35am
d