mutakhir

Usung jenazah dari tingkat lapan

Oleh Hadzlihady Hassan

“KAMI mengambil masa hampir 40 minit untuk menurunkan jenazah wanita itu dari tingkat lapan hingga ke surau pada pagi Aidilfitri,” kata Staff Muda Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Seberang Perai Tengah, Muhammad Irfan Syahmi Muhammad Yushri, 21.

Menurutnya, dia bersama tiga lagi anggota menerima panggilan daripada adik lelaki arwah pada 11 malam yang meminta menurunkan jenazah kakaknya yang meninggal dunia di rumahnya di Pangsapuri Kelisa Height, Bukit Mertajam.

“Tersentuh hati saya apabila lelaki itu memberitahu mahu meminta pertolongan kami menurunkan jenazah kakaknya selepas Subuh.

“Walaupun sudah tiga tahun berkhidmat bersama APM namun ini kali pertama saya bertugas menurunkan jenazah ketika orang lain menyambut Aidilfitri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Difahamkan, wanita berusia 40-an terbabit meninggal dunia kerana menderita penyakit kanser payudara tahap empat.

Muhammad Irfan berkata, sebagai manusia hatinya tersentuh apabila hanya ahli keluarga yang ada kerana kebanyakan jiran sudah pulang beraya namun apakan daya dia tetap membantu kerana itu adalah tanggungjawab mereka.

“Lif di situ agak sempit dan sukar untuk menurunkan jenazah wanita terbabit hingga bantuan APM diperlukan.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan ahli keluarga juga berulang kali mengucapkan terima kasih kepada kami dan ia menjadi kenangan yang sukar dilupakan,” katanya.

Disiarkan pada: June 6, 2019 @ 4:23pm
d