mutakhir

Isteri maut kemalangan

Oleh Mary Victoria Dass

WANITA berusia 23 tahun maut manakala suami dan bayi mereka cedera dalam kemalangan di Jalan Kota Tinggi - Mersing, Kota Tinggi pada 10 pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.13 pagi.

Menurutnya, operasi diketuai Pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Ibrahim Wahid dengan tujuh anggota, sebuah jentera dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS).

Menurutnya, kemalangan dipercayai disebabkan rempuhan antara dua kenderaan iaitu Proton Persona dan Perodua Myvi.

Katanya, terdapat seorang mangsa di dalam Proton Persona manakala tiga mangsa dalam Perodua Myvi.

“Semua mangsa dikeluarkan bomba kecuali bayi perempuan yang dibawa orang awam sebelum ketibaan bomba.

“Dalam kejadian itu, wanita yang menaiki Perodua Myvi, Izzaty Mustafa, 23, meninggal dunia di tempat kejadian manakala suaminya, Muhamad Reedzuan Nordin, 26, dan bayi perempuan, Afeeya Medinah, tujuh bulan cedera.

“Pemandu Proton Persona yang belum dikenalpasti identiti turut cedera,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kota Tinggi (HKT) manakala mangsa meninggal dunia diserahkan kepada polis.

Disiarkan pada: June 6, 2019 @ 4:32pm
d