mutakhir

Maut terhumban dalam sungai

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

LELAKI maut selepas terhumban ke dalam sungai sejurus motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kampung Tok Mengkula, Kuala Sanglang, Kedah, malam tadi.

Mayat mangsa, Muhammad Nasrul Mahadi dari Kampung Guar Syed Alwi, Kangar ditemui di dalam sungai beberapa jam selepas terbabit dalam kemalangan itu pada 11.30 malam.

Menurut ahli keluarga terdekat mangsa yang enggan dikenali, Muhammad Nasrul dipercayai ingin menemui rakannya di kampung berkenaan bagi menyambut Aidilfitri.

“Sebelum kejadian arwah ada pergi ke rumah rakan-rakannya di sekitar Perlis bagi meraikan Aidilfitri bersama.

“Dia tidak ada menunjukkan sebarang tanda pelik kerana sememangnya arwah akan bertemu dengan rakannya di pagi Syawal.

“Malah rakannya ada memaklumkan dia sering memuji mereka sekiranya bertemu memandangkan rakannya ramai yang bekerja dan belajar di negeri lain,” katanya ketika ditemui hari ini di Tanah Perkuburan Kampung Guar Syed Alwi, Kangar, hari ini.

Ahli keluarga berkenaan berkata, kehilangan Muhammad Nasrul begitu memberi kesan ke atas keluarga mereka.

“Dia memang anak yang baik malah tidak mempunyai masalah dengan orang lain.

“Cuma kami tidak tahu atas alasan apa dia ke Kuala Sanglang pada waktu itu, mungkin dia ingin bertemu dengan rakannya di sana,” katanya.

Jenazah Muhammad Nasrul selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Islam Kampung Guar Syed Alwi tengah hari ini selepas selesai menjalani proses bedah siasat di Hospital Jitra.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim mengesahkan kejadian berkenaan.

Disiarkan pada: June 6, 2019 @ 6:45pm
d