mutakhir

[UPDATE] Tragedi kali pertama berkonvoi

Oleh Ibrahim Isa

“INI kali pertama kami berkonvoi beramai-ramai, tidak sangka kejadian ini berlaku,” kata Zakaria Ahmad Palil, 60, yang kematian anak, menantu dan cucu dalam kemalangan pagi tadi.

Dalam kejadian 11 pagi itu, menantunya, Nurul Jannah Talib, 29, dan anak ketiganya, Muhammad Darwisy Mohd Safar, 4, meninggal dunia di tempat kejadian.

Anak Zakaria, Mohd Safar Zakaria, 34, meninggal dunia di Hospital Mersing.

Kejadian berlaku apabila Proton Wira dinaiki mereka lima beranak bertembung Proton Exora di Kilometer 15 Jalan Mersing-Endau.

Anak pertama pasangan itu, Nur Ummi Qaisara, 10, kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) akibat parah di kepala manakala anak kedua, Nur Dawishya, 6, dirawat di Hospital Mersing akibat patah kedua-dua bahu.

Zakaria berkata, dia bersama isteri menaiki sebuah kereta manakala enam anaknya masing-masing memandu kenderaan sendiri dari FELDA Palong Timur, Segamat ke FELDA Tenggaroh 2.

Menurutnya, mereka bergerak 7.30 pagi tadi dan terpaksa memandu perlahan disebabkan hujan renyai.

“Sebelum hari raya, anak-anak teruja mahu berkonvoi ke rumah saudara mara dan hari ini, kami menziarah keluarga.

“Sepanjang perjalanan kami tidak berdepan masalah cuma konvoi terputus dengan keenam-enam kenderaan masih bersama kecuali Proton Wira Mohd Safar.

“Kami cuba menghubunginya berulang kali tidak berjawab, sebaik tiba di rumah saudara di FELDA Tenggaroh 2, salah seorang anak menerima panggilan polis mengatakan Mohd Safar terbabit kemalangan dan meminta kami ke Hospital Mersing,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, keluarganya reda dengan kejadian itu.

Sementara itu, ibu arwah Hamidah Harun, 55, berkata, anak kedua daripada enam beradik itu tidak selera makan sepanjang Ramadan lalu.

Katanya, mereka lima beranak dipercayai menghidap demam denggi namun berselera ketika menyambut hari raya pertama semalam.

“Saya terkejut melihat arwah berselera lain macam, kurang sejam dia mencari makanan tidak seperti kebiasaan.

“Selain itu, mereka teruja menunggu kelahiran anak keempat dipercayai lelaki kerana arwah isterinya, Nurul Jannah kini mengandung 8 bulan.

“Kami reda dengan kejadian ini dan berharap kedua-dua anaknya yang parah segera pulih,” katanya.

Berita berkaitan

Tiga beranak maut, lapan cedera kereta bertembung

Disiarkan pada: June 6, 2019 @ 8:40pm
d