mutakhir

'Air pancut' basahi jalan

Oleh Badrul Kamal Zakaria

LELAKI berusia 25 tahun cedera selepas kereta dipandunya terbabas dan merempuh paip air di Jalan Yong Peng - Segamat berhampiran Kampung Haji Ghafar, Yong Peng, hari ini.

Dalam kejadian 2 petang itu, paip air milik Syarikat Air Johor (SAJ) itu pecah dan memancutkan air setinggi antara lima hingga tujuh meter serta membasahkan permukaan jalan berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Penolong Penguasa Bomba Muhd Syamil Arifin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2 petang.

“Satu jentera bersama lapan anggota dikejarkan ke lokasi dan kami mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa dikenali sebagai Basiruzaman Elias, 25.

“Kejadian itu dipercayai berlaku apabila mangsa yang memandu Proton Satria Neo dalam perjalanan dari Segamat ke kampungnya di Kulai. Mangsa dipercayai mengantuk sebelum terbabas dan merempuh saluran paip air itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhd Syamil berkata, mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika operasi menyelamat diadakan dan didapati cedera ringan.

Katanya, mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk tindakan lanjut.

“Beberapa anggota polis mengawal lalu lintas di kawasan terbabit berikutan pancuran air akibat pecahan saluran paip memenuhi permukaan jalan.

“Kami menghubungi SAJ untuk menutup paip bagi mengelak keadaan berlanjutan.

“Kami masih dalam keadaan bersedia sekiranya diminta untuk membantu SAJ terutama jika perlu menyedut limpahan air itu. Sehingga kini saya difahamkan air masih lagi keluar dari paip berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: June 6, 2019 @ 8:49pm
d