mutakhir

Pam minyak keluar angin [METROTV]

Oleh Mohd Hilmie Hussin

PAM minyak hanya keluar angin.

Itu dakwaan pemandu yang mahu mengisi minyak diesel di stesen minyak di Melaka.

Menerusi rakaman video berdurasi 27 saat yang tular di Facebook sejak semalam itu, pemilik akaun Vince Leng mendakwa pam minyak terbabit tidak mengeluarkan minyak biarpun nozel diangkat dan sudah menarik picu nozel terbabit.

Vince memberitahu dia sudah merujuk kaunter stesen pam minyak terbabit dan cuba mendapatkan penjelasan daripada pemiliknya, namun ia belum diselesaikan hingga kini.

Kejadian itu dipercayai berlaku di daerah Melaka Tengah namun ada pengguna Facebook membuat komen mendakwa kejadian sama berlaku di daerah Jasin.

Berdasarkan rakaman video terbabit, dapat dilihat meter pam bergerak namun nozel tidak mengeluarkan minyak.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Jaiya Abu berkata, pihaknya akan menyiasat kesahihan video terbabit.

“Kami akan siasat dulu perkara ini selepas menerima maklumat selanjutnya,” katanya ketika dihubungi.

Disiarkan pada: June 6, 2019 @ 11:51pm
d