mutakhir

Buktikan tidak memihak

Oleh Hairulazim Mahmud

PAS mengalu-alukan pelantikan Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata, bagaimanapun peguam yang keluar dari PKR sebaik saja diumumkan menyandang jawatan itu perlu membuktikan bahawa beliau tidak memihak apabila melaksanakan tugasnya.

"PAS yakin Latheefa Koya seorang yang berkelayakan dan berperwatakan sesuai untuk menjawat jawatan itu, lebih-lebih lagi beliau tidak lagi menjadi ahli mana-mana parti politik.

"Walau bagaimanapun beliau perlu membuktikan dengan lebih jelas boleh melaksanakan tugas berkenaan dengan tanpa takut atau memihak demi memerangi gejala rasuah di semua peringkat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai pelantikan Latheefa Koya itu berkuat kuasa 1 Jun lalu untuk tempoh dua tahun.

Kenyataan Pejabat Perdana Menteri berkata, selaras dengan subseksyen 5(1) Akta SPRM 2009, Yang di-Pertuan Agong juga sudah memperkenankan pelantikan berkenaan.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pemilihan Latheefa adalah kerana beliau seorang yang suka berterus terang selain bercakap benar.

Malah Perdana Menteri berkata, pemilihan itu dibuatnya sendiri kerana ketegasan karektor pada diri wanita terbabit.

Disiarkan pada: June 7, 2019 @ 9:49am
d