mutakhir

Pemansuhan tol perlu pertimbangan mendalam

Oleh HM Digital

SEBARANG perubahan dalam perjanjian antara kerajaan dengan syarikat konsesi lebuh raya termasuk pemansuhan tol memerlukan penelitian dan pertimbangan mendalam kerana ia membabitkan kepentingan banyak pihak.

Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Azman Ismail berkata, dalam perjanjian itu ada syarat perlu dipatuhi oleh kerajaan dan syarikat konsesi yang bukan sekadar menjaga kepentingan kedua-dua pihak malah membabitkan soal kewangan dan pemegang saham.

“Apa saja yang kerajaan merancang untuk melaksanakannya adalah prerogatif kerajaan tapi yang penting ialah kita ada perjanjian konsesi yang sah.

“Jika ada perubahan dilakukan pada perjanjian itu, kerajaan perlu membuat pelbagai pertimbangan kerana ia membabitkan kepentingan banyak pihak sebelum keputusan akhir dibuat,” katanya dalam temubual di stesen radio BFM89.9, baru-baru ini.

Temubual dikendalikan Shou Ning Wong itu berkisar mengenai adakah usaha kerajaan memansuhkan tol dapat direalisasikan selain isu berkaitan perkhidmatan PLUS kepada pengguna lebuh raya itu.

Azman berkata, setakat ini, kerajaan melantik konsultan untuk melaksanakan kajian mengenai masa depan konsesi lebuh raya.

“Kajian itu mendalam dan kami diberi peluang menyertainya dengan memberi input dan pandangan. Saya percaya hasil kajian akan dibentangkan ke Kabinet tidak lama lagi dan keputusan akan dibuat.

“Sehubungan itu, kita perlu menunggu kenyataan daripada kerajaan dan tidak membuat sebarang spekulasi,” katanya.

Beliau berkata, banyak perkara memerlukan pertimbangan dan kerajaan sudah pastinya mahu suasana harmoni dengan semua pihak termasuk pemegang bon bagi memastikan keyakinan pasaran saham.

“Memansuhkan tol seperti Plaza Tol Batu Tiga, Sungai Rasau, tol motosikal di Jambatan Pulau Pinang, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah serta di Lebuhraya Laluan Kedua di Johor memang dilaksanakan kerajaan tetapi pampasan dibuat.

“Dalam perjanjian konsesi, memang kenaikan tol perlu dibuat pada kadar tertentu dan kerajaan berhak untuk tidak menaikkannya. Tapi jika tidak dinaikkan pampasan perlu dibuat.

“Ini kerana pasaran modal sedar mengenai bila kadar tol perlu dinaikkan berdasarkan perjanjian dan ada perkara yang perlu syarikat konsesi patuhi seperti pembayaran balik faedah dan prinsipal pinjaman. Jika itu tidak dilakukan, pampasan perlu dibuat, jika tidak, syarikat konsesi akan berdepan masalah untuk memenuhi terma pembayaran pinjaman,” katanya.

Sehubungan itu, Azman berkata, kerajaan perlu melihat situasi fiskal jika mahu melaksanakan apa-apa perubahan dan perbelanjaan perlu dilakukan secara bijaksana.

Menurutnya, cadangan pengambilalihan PLUS oleh pihak swasta dan mengurangkan kos penyelenggaraan untuk menurunkan kadar tol juga sukar dibuat.

“Perlu diingat Lebuhraya PLUS sudah berusia 30 tahun dan aspek penyelenggaraan sangat penting. Kita bukan saja perlu memantau aspek laluan, malah cerun dan struktur seperti jambatan dan terowong yang memerlukan kos yang tinggi.

“Jadi mustahil dengan mengurangkan kos penyelenggaraan dana mengurangkan kadar tol,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, PLUS sedang berusaha meningkat dan menambahbaik kualiti Hentian Rehat dan Rawat (RnR) bertaraf antarabangsa secara berperingkat di sepanjang laluan.

“Kita mahu memberi perkhidmatan yang selesa kepada pengguna dan ia menjadi matlamat kami,” katanya.

Disiarkan pada: June 7, 2019 @ 3:30pm
d