mutakhir

Hiba lihat pelarian Rohingya sambut Aidilfitri

Oleh Yusmizal Dolah Aling

KETIKA umat Islam seluruh dunia bergembira menyambut kedatangan Syawal, ratusan ribu pelarian Rohingya di beberapa kem di Cox’s Bazar, Bangladesh masih menantikan bantuan masyarakat antarabangsa untuk meneruskan hidup.

Aidilfitri di khemah usang tetap disambut, namun sebahagian besar masih merasakan seolah-olah berada di bulan Ramadan kerana tiada apa yang boleh dimakan atau dijadikan juadah raya berbanding ketika di kampung halaman mereka di Sittwe, Myanmar.

Ada yang menyertai penduduk untuk tinggal di penempatan luar dan dapat merasai suasana hari raya berbanding di beberapa kem seperti Balukhali dan Tankhali, itu pun dengan ihsan orang kampung yang mengajak mereka berhari raya bersama.

Pengarah I-Reach Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Johan Ariff Ismail berkata, begitupun pelarian yang beragama Islam tetap berusaha membuat persiapan raya menggunakan bantuan diserahkan masyarakat antarabangsa.

Katanya, walaupun serba daif, mereka begitu mengharapkan bantuan pek makanan daripada pihak luar untuk berhari raya dan itu menyentuh hati sukarelawan yang berpeluang melihat sendiri bagaimana pelarian menyambut Aidifitri.

“I-Reach menyantuni 100 keluarga dengan bantuan pek makanan dan keperluan perayaan pelarian Rohingya yang ada di malam hari raya. Situasi begitu hiba kerana mereka seolah-olah tidak dapat membuat persiapan kerana tidak mempunyai apa-apa.

“Bagi yang mampu, mereka akan menyediakan makanan tradisi iaitu muri, piaju, zilafi dan sambosa, itu pun dalam jumlah yang sedikit kerana penghuni kem terlalu ramai. Memang berbeza Aidilfitri di sini, berbanding di Malaysia,” katanya yang baru tiba di tanah air, hari ini.

Johan Ariff berkata, selain bantuan kemanusiaan, MAPIM juga melawat Hospital Medan Malaysia (MFH) yang menjadi satu-satunya hospital medan yang mempunyai Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk merawat pelarian.

Katanya, I-Reach akan menjalinkan kerjasama erat bersama MFH dalam usaha membantu pelarian mendapatkan rawatan menerusi program di kem pelarian seperti yang pernah dijalankan seebelum ini.

Sementara itu, Komandan MFH, Kolonel Dr Shamsul Bahari Mohammad berkata, kewujudan MFH begitu relevan kerana ia memberikan kemudahan kepada pesakit untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, ia membuktikan Malaysia sangat aktif dalam misi kemanusiaan dan pasukan perubatan negara sentiasa memberikan yang terbaik untuk membantu mereka yang memerlukan.

“Saya di sini, sejak tiga bulan lalu dan Malaysia adalah salah satu negara Islam yang menyediakan hospital medan. Terima kasih kepada yang mendoakan kejayaan kami di sini. Kami harap misi ini dapat diteruskan dan dilaksanakan dengan lebih berkesan pada masa depan,” katanya.

Disiarkan pada: June 7, 2019 @ 4:04pm
d