mutakhir

Rugi lebih RM100,000

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

PENIAGA kerugian lebih RM100,000 apabila kediamannya di Jalan Presint 10C, Presint 10, di Putrajaya, dipecah masuk ketika pulang beraya ke kampung, sejak 3 Jun lalu.

Kejadian itu disedari pemiliknya apabila pulang ke rumah, 3.45 petang hari ini.

Ketika itu, dia mendapati pintu bilik tidurnya dipecahkan dan kesemua barangan dalam rumah berselerak.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Rosly Hasan berkata, pemilik rumah tiada di rumah ketika kejadian kerana pulang beraya di kampung di utara tanah air, sejak 3 Jun lalu.

Beliau berkata, pemilik mendakwa sudah mengunci semua pintu rumah dan mengesahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berfungsi.

“Pengadu juga mendapati semua peralatan CCTV dan kunci-kunci rumah turut dilarikan perompak.

“Siasatan awal mendapati beberapa barangan berharga dilarikan termasuk empat utas jam tangan, barang kemas, tiga helai jaket, tas tangan dan wang tunai RM5,000,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati, suspek memasuki kediaman melalui tingkap hadapan rumah dengan memecahkan cermin.

Rosly berkata, perompak turut melarikan sebuah peti besi yang di dalamnya mengandungi geran tanah, jam tangan dan wang tunai.

“Semakan juga mendapati pengadu tidak membuat pemakluman balik kampung kepada balai polis terdekat,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: June 7, 2019 @ 8:59pm
d