mutakhir

Tayar pecah punca kemalangan

Oleh Nurul Amanina Suhaini

TAYAR kereta pecah dipercayai punca berlakunya kemalangan enam kenderaan, sebelum dua daripadanya terbakar hampir keseluruhan dalam kejadian di Kilometer 27.5 Lebuhraya Senai - Desaru, Johor Bahru 10.40 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.10 tengah malam memaklumkan kemalangan membabitkan enam kenderaan iaitu Proton Saga, Proton Persona, Toyota Altis, Perodua Alza dan Proton Iswara.

“Hasil siasatan mendapati Proton Saga dari arah Senai menghala ke Desaru terbabas di bahu kanan jalan dipercayai disebabkan tayar pecah.

“Kejadian berlaku secara tiba-tiba menyebabkan Proton Persona termasuk empat kereta yang lain dari arah sama tidak dapat mengelak lalu berlaku pelanggaran.

“Kemalangan menyebabkan Proton Saga dan Proton Persona terbakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail berkata, kemalangan itu menyebabkan empat kereta lain mengalami kerosakan namun tiada kematian dan kecederaan dilaporkan.

Katanya, punca kemalangan masih dalam siasatan dan kes diklasifikasi mengikut Rule 10 LN 166/59.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya, Pegawai Bomba Kanan II Raja Yusrin Unin berkata, dua kereta iaitu Proton Iswara dan Proton Persona terbakar 90 peratus susulan pelanggaran enam kenderaan itu.

“Semua mangsa dari enam kenderaan berjaya keluar dari kenderaan masing-masing hasil bantuan orang awam sebelum ketibaan anggota bomba.

“Bomba mengambil masa 10 minit untuk memadamkan kebakaran itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Disiarkan pada: June 7, 2019 @ 9:13pm
d