mutakhir

Changkat Jong dilanda banjir

Oleh Muhammad Apendy Issahak

SATU lagi daerah di Perak dilanda banjir hari ini, membabitkan kawasan Kampung Batu 8 dan Kampung Batu 9, Changkat Jong, Hilir Perak.

Susulan bencana itu, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong, dibuka bagi menempatkan 58 mangsa dari 14 keluarga yang terjejas.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hilir Perak berkata, PPS berkenaan dibuka jam 6 petang selepas hujan lebat selama beberapa jam mengakibatkan air naik sedalam kira-kira 0.5 meter di dua kampung terbabit.

"Kesemua mangsa yang ditempatkan di PPS terbabit adalah 13 lelaki, wanita (16), kanak-kanak lelaki (12), kanak-kanak perempuan (13) dan masing-masing dua bayi lelaki dan perempuan.

"Agensi yang terbabit membantu memindahkan mangsa adalah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), polis, bomba, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD)," katanya di Teluk Intan, hari ini.

Terdahulu, dua keluarga membabitkan 14 mangsa dipindahkan ke PPS susulan bencana banjir melanda Kampung Cabang Dua, Kuala Dipang, di Kampar.

PPS di Dewan Orang Ramai Kampung Kuala Dipang dibuka secara rasmi pada 10 pagi tadi bagi menempatkan dua keluarga berkenaan.

Disiarkan pada: June 7, 2019 @ 10:31pm
d