mutakhir

Cita-cita Nur Ain Natasya

Oleh Syaherah Mustafa

BIARPUN cacat tangan kanan, siapa sangka remaja yang juga atlet paralimpik memiliki kemahiran dalam bidang solekan.

Nur Ain Natasya Marzuki, 16, menjadikan aktiviti bersolek sebagai hobi disamping sibuk dengan jadual belajar dan bersukan memandangkan dia adalah atlet Kelantan untuk Para Sukan Malaysia (SUKMA).

Anak ketiga daripada empat beradik itu menunjukkan minat mendalam dalam bidang solekan sejak kecil malah mengumpul pelbagai jenis barang solek seperti gincu, bedak, dan celak mata.

“Saya lebih yakin untuk keluar jika saya bersolek. Bagi saya, kecacatan yang dialami ini tidak menghalang untuk saya bergaya dan kelihatan lebih cantik.

“Disebabkan saya masih berstatus pelajar dan di usia yang muda, saya mengehadkan minat dalam bidang solekan namun bercita-cita menjadi jurusolek tersohor suatu hari nanti.

“Saya ditakdirkan memiliki sebelah tangan saja, tapi saya akan buktikan tangan kiri ini mampu membantu saya menjadi insan berjaya suatu masa nanti,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bakti, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, baru-baru ini.

Nur Ain berkata, dia mulai aktif dalam bidang olahraga (larian) sejak sekolah menengah dan bakatnya terus diasah sebagai atlet paralimpik.

Katanya, sebelum ini dia pernah berasa kurang keyakinan diri kerana sering kali diejek dan dipandang rendah oleh rakan-rakan,

“Namun selepas mendapat nasihat ibu, Norida deraman, 45, saya kembali berfikiran positif dan mencari sesuatu yang membolehkan saya gembira seperti bersolek.

“Saya beberapa kali mengikuti kakak angkat ke kelas solekan jika ada masa terluang dan turut menjadikan jurusolek Instafamous seperti Bella dan Asyallie sebagai idola.

“Ramai saudara-mara yang memuji hasil solekan saya malah mereka sanggup menadah muka dan mempercayai kebolehan saya untuk menyolek mereka,” katanya.

Disiarkan pada: June 8, 2019 @ 10:48am
d