mutakhir

Wanita warga emas ditemui mati

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

MAYAT wanita warga emas ditemui terbaring di atas lantai ruang tamu kediamannya di Seksyen 4, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintendan Muhammad Najib Hamzah berkata, wanita berusia 90 tahun itu dipercayai tinggal seorang diri.

“Pada jam 12.40 tengah hari tadi, polis pergi ke kediaman mangsa di Seksyen 4 dan mendapati keadaan rumah berkunci. Polis terpaksa memecahkan pintu untuk masuk ke kediaman itu.

“Selepas memecahkan pintu, polis menemui mayat mangsa terbaring di atas lantai di ruang tamu. Menurut jiran, kali terakhir warga emas itu dilihat kira-kira seminggu lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.

Disiarkan pada: June 8, 2019 @ 3:35pm
d