mutakhir

Dua parah nahas dua kereta

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

DUA parah manakala seorang cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan jenis Toyota Vios dan Perodua Myvi di Lorong Kampung Tersusun Salak Baru, Sungai Siput, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, dua mangsa yang parah adalah seorang lelaki yang juga pemandu Perodua Myvi berusia 20-an dan seorang penumpang wanita Toyota Vios berusia 19 tahun.

Difahamkan, pemandu Perodua Myvi masih belum sedarkan diri manakala penumpang wanita Toyota Vios yang mengalami kecederaan dalaman menerima rawatan di Hospital Sungai Siput.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.44 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba anggota mendapati dua mangsa daripada Toyota Vios sudah dikeluarkan dan mengalami kecederaan manakala pemandu Perodua Myvi tersepit di tempat duduk pemandu.

“Anggota bomba kemudian menggunakan peralatan kecemasan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum dibawa ke hospital oleh jentera EMRS bomba sebelum operasi ditamatkan jam 10.05 malam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan.

Disiarkan pada: June 8, 2019 @ 3:49pm
d