mutakhir

Tragedi raya keempat

Oleh Hasbi Sidek

KEGEMBIRAAN sekeluarga yang mahu beraya ke rumah saudara di Bangi, bertukar tragedi apabila mereka terbabit dalam kemalangan di Batang Kali, yang menyebabkan salah seorang daripada mereka maut, petang ini.

Dalam kejadian 2.15 petang itu, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Unser yang dinaiki keluarga itu bertembung dengan Toyota Camry berhampiran Sekolah Menengah (SM) Sains Hulu Selangor, Jalan Hulu Yam.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu, Mohd Adnan Firdaus Abd Jamil berkata, seramai tujuh individu berada dalam kenderaan Toyota Unser berkenaan.

“Pihak kami menerima panggilan kecemasan jam 2.26 petang sebelum seramai 10 anggota diketuai saya sendiri bergegas ke lokasi dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Sebaik tiba kami mendapati dua lelaki dewasa dan seorang wanita tersepit di dalam kenderaan Toyota Unser. Pihak kami menjalankan operasi mengeluarkan mangsa sebelum pegawai perubatan yang berada di lokasi mengesahkan seorang wanita dikenali sebagai Faridah Muda, 63, maut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pemandu dan penumpang Toyota Camry cedera ringan dan dikeluarkan orang awam sebelum bomba tiba.

“Daripada maklumat awal yang kami terima, keluarga yang menaiki Toyota Unser berkenaan dalam perjalanan dari Batang Kali menuju ke Bangi dan dipercayai mahu beraya ke rumah saudara mereka.

“Toyota Camry dari arah Batu Caves menuju ke Batang Kali sebelum kedua-duanya bertembung ketika tiba di lokasi kejadian. Bagaimanapun, siasatan lanjut dijalankan polis,” katanya.

Disiarkan pada: June 8, 2019 @ 6:34pm
d