mutakhir

'Saya insaf'

Oleh Mohd Rafi Mamat

KUNJUNGAN ibu bapa dan keluarga pada Program Perjumpaan Sempena Hari Raya Aidilfitri di Pusat Reintegrasi Penghuni Kem Batu 10, dekat Kuantan, menimbulkan rasa insaf dalam kalangan banduan.

Bagi Halim (bukan nama sebenar), 47, peluang berjumpa dengan ahli keluarganya menjadi detik paling bermakna selepas dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan akibat terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

“Saya tersilap langkah kerana terlalu ikutkan hati dan terpengaruh dengan rakan... sejak terjerumus dengan najis dadah, saya pernah ditahan tujuh kali oleh pihak berkuasa dan kini saya sudah sedar dan insaf dengan kesilapan lalu.

“Mereka (ibu bapa) tidak pernah berhenti daripada menasihatkan saya, namun nasihat itu cuma melekat dalam kepala beberapa bulan sahaja sebelum kembali menjadikan najis dadah sebagai tempat melepaskan tekanan,” katanya yang berasal dari Jerantut.

Dia berkata, pengorbanan bapanya yang sanggup memandu kira-kira 300 kilometer (km) untuk menjenguknya pada program itu sangat menyentuh hatinya.

“Saya tahu bapa bukanlah sihat sangat, tapi mereka tidak pernah melupakan saya sepanjang berada di sini.

“Pengorbanan ini memang menyedarkan saya dan saya bertekad untuk berubah sepenuhnya selepas dibebaskan nanti,” katanya.

Sementara itu, bagi seorang lagi penghuni Pusat Reintegrasi berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Joe, 30, ibunya yang menetap di Kemaman, Terengganu tidak dapat mengunjunginya pada program tahun ini kerana masalah kesihatan.

“Biasanya setiap tahun ibu datang meraikan Aidilfitri bersama saya di sini, cuma tahun ini dia tidak dapat datang kerana uzur dan ada masalah kesihatan.

“Saya cuma harap ibu kembali sihat seperti sedia kala dan dapat menjenguk saya di sini tidak lama lagi,” katanya yang dihukum penjara sembilan tahun dan 10 sebatan kerana didapati bersalah mengedar najis dadah pada tahun 2013.

Komandan Pusat Reintegrasi Penghuni Kem Batu 10, Penolong Penguasa Penjara, Mohd Rani Zakaria berkata, pihaknya sentiasa mempelawa ahli keluarga melawat penghuni pusat itu dalam usaha memberi keinsafan kepada mereka.

Katanya, sokongan ibu bapa dan ahli keluarga dapat membantu penghuni kembali ke pangkal jalan membina hidup baru yang lebih bermakna terutama apabila dibebaskan daripada pusat tahanan.

Disiarkan pada: June 9, 2019 @ 10:07am
d