mutakhir

Terima pelantikan dengan hati terbuka - Mukhriz

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

PELANTIKAN Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya baharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diterima secara terbuka oleh semua pihak termasuk pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH).

Menteri Besar Kedah merangkap Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, Latheefa sendiri tidak boleh sewenang-wenang melepaskan jawatan itu sesuka hati meskipun beliau didesak oleh pelbagai pihak.

“Pelantikan beliau adalah keputusan oleh Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) sendiri selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Latheefa tidak boleh sewenang-wenangnya meletakkan jawatan kerana jika beliau ingin berbuat demikian, perkara itu mestilah mendapat persetujuan sendiri oleh Dr Mahathir dan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Malah, sebelum ini pun kita mengetahui yang Dr Mahathir sama sekali tidak akan ‘u-turn’ dan berganjak dengan keputusanny,” katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri BERSATU Arau di kediaman bekas Menteri Besar Perlis, Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawan Teh.

Pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM mendapat pelbagai reaksi daripada banyak pihak termasuk dalam kalangan parti komponen PH sendiri.

Ia berikutan pelantikan itu dilihat bertentangan dengan manifesto PH yang sebelum ini jelas menyatakan setiap pelantikan jawatan penting dalam kerajaan perlu melalui pemilihan dalam Jawatankuasa Khas Parlimen.

Mengulas lanjut mengenai pelantikan Latheefa yang dilihat bertentangan dengan manifesto berkenaan, Mukhriz berkata, Dr Mahathir juga mempunyai hak untuk melantik mana-mana pihak ke jawatan penting kerajaan seperti termaktub dalam Perlembagaan.

“Jika dilihat tuan punya badan (Latheefa) sebelum ini juga lantang mengkritik pelantikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

“Jadi, beliau adalah orang yang layak memegang jawatan itu atas kredibilitinya yang lantang dan tidak berkepentingan ke atas mana-mana pihak,” katanya.

Disiarkan pada: June 9, 2019 @ 3:13pm
d