mutakhir

Harga makanan punya pasal... [METROTV]

Oleh Hadzlihady Hassan

PERSELISIHAN faham mengenai harga makanan membuatkan berlakunya pergaduhan antara sekumpulan pelancong luar negara bersama lelaki warga tempatan berhampiran sebuah pub di Lebuh Chulia, di Georgetown, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, aksi pergaduhan terbabit tular apabila rakaman video mereka disebarkan oleh beberapa individu yang berada di kawasan itu ketika kejadian.

Bagaimanapun, tiada sebarang laporan polis dibuat berhubung pergaduhan itu dan semua mereka juga dikatakan tidak mengalami kecederaan serius, selain berada dalam keadaan mabuk.

Ketua Polis negeri, Datuk T Narenasagaran berkata, pihaknya sudah membuat pemantauan dan pemeriksaan di kawasan terbabit yang juga dilihat sebagai tempat tumpuan pelancong dalam dan luar negara.

Menurutnya, sebanyak sembilan pusat hiburan diperiksa dan tiga daripadanya dikenakan tindakan mengikut Seksyen 6(1) Enakmen hiburan dan dan Tempat Tempat Hiburan (EHDTTH) 1998.

“Kita turut menahan dua lelaki tempatan dan seorang warga asing bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 55B Akta Imigresen dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.

“Ingin saya ingatkan kepada mana-mana pemilik premis pusat hiburan supaya mematuhi massa ditetapkan ketika menjalankan operasi perniagaan mereka dan sekiranya tidak mematuhi undang-undang tindakan tegas akan dikenakan,” katanya.

Disiarkan pada: June 9, 2019 @ 4:56pm
d