mutakhir

Mujur sempat lari...

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

LELAKI bengkak di muka dan retak tulang lengan kanan selepas dipukul dua lelaki dalam kejadian di Cherang Ruku, Pasir Puteh, semalam.

Kejadian 2.47 petang itu, mangsa berusia 40-an dipukul dua lelaki itu selepas kejadian kereta mangsa dilanggar dari arah belakang.

Sumber berkata, sebelum itu kereta Perodua Kancil mangsa dilanggar dari arah belakang oleh sebuah Proton Saga yang dipandu seorang lelaki.

“Mangsa bersama pemandu kereta itu keluar berbincang dalam keadaan baik dan lelaki itu bersetuju untuk membayar RM400 di atas kerosakan yang berlaku.

“Selepas itu datang beberapa ahli keluarga lelaki itu dan terus memarahi mangsa sebelum dua lelaki yang menaiki Honda Jazz bernombor pendaftaran Thailand memukul dan menumbuk di bahagian mulut serta menendang di bahagian lengan mangsa,” katanya, hari ini.

Menurutnya, mangsa berjaya melarikan diri selepas ada beberapa lagi lelaki yang datang menghampirinya.

Katanya, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Disiarkan pada: June 9, 2019 @ 6:22pm
d