mutakhir

Kanak-kanak 3 tahun dikhuatiri lemas

Oleh Fardy Bungga

KANAK-KANAK lelaki berusia tiga tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai tergelincir ke dalam sungai di Kampung Tebobon, dekat Kota Kinabalu, semalam.

Mangsa Mohd Putra Daniel Samsul disedari hilang kira-kira jam 6 petang sebelum usaha mencari dilakukan ahli keluarga termasuk di kawasan sungai yang terletak dua meter dari rumahnya.

Bagaimanapun, selepas pencarian gagal, ahli keluarga mangsa menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan bantuan segera.

Pegawai Kanan Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah, Agustavia Joe Guasi berkata, sebaik menerima panggilan jam 10.12 malam, dua jentera bersama enam anggota dikerah ke lokasi kejadian.

Bagaimanapun katanya, usaha pencarian di kawasan sekitar sungai gagal menemui mangsa dan terpaksa ditangguhkan ekoran keadaan cuaca yang gelap.

“Usaha pencarian disambung semula 6.20 pagi hari ini menggunakan kaedah selaman oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan anjing pengesan K9.

“Bagaimanapun, misi pencarian yang dijalankan sekitar tiga kilometer itu masih gagal menemui mangsa dan terpaksa dihentikan pada jam 4 petang ekoran keadaan cuaca hujan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, misi pencarian akan diteruskan esok meliputi keluasan kawasan yang lebih jauh serta sekitar lokasi kanak-kanak itu dipercayai terjatuh.

Katanya, seramai 11 anggota dan pegawai yang diketuai Pegawai Bomba Ferdinand Lawrance terbabit dalam operasi hari ini.

Disiarkan pada: June 9, 2019 @ 6:52pm
d