mutakhir

Aidilfitri terpilu [METROTV]

Oleh Hairulazim Mahmud

“AIDILFITRI paling sedih tapi kami reda,” luah Yusof Ali, 49, seorang daripada kebakaran di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Katanya, Aidilfitri kali ini terpaksa dilalui dengan penuh hiba selepas rumah dan harta bendanya hangus dalam kebakaran yang memusnahkan lima kediaman pada malam pertama hari raya Rabu lalu.

Katanya, tragedi yang tidak disangka itu memusnahkan harta benda enam keluarga menyebabkan mereka kini tinggal sehelai sepinggang.

Malah katanya, ada antara mangsa bakal melangsungkan pertunangan selepas Aidilfitri ini dengan segala persiapan sudah dibuat tetapi segala-galanya sudah musnah.

“Pada siang sebelum kejadian, kami sempat bertukar-tukar gambar keluarga dengan baju raya masing-masing sambil mengucapkan selamat hari raya.

“Tapi hari ini pada hari kelima Syawal, kami hanya menyambut Aidilfitri di Dewan Serbaguna Kampung Baru ini dengan tiada ada apa-apa lagi yang tinggal.

“Tapi alhamdulillah, kami tetap bersyukur kerana banyak pihak tampil membantu termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selain badan bukan kerajaan,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Katanya, mereka mengharapkan bantuan penempatan iaitu rumah disegerakan oleh pihak yang sudah berjanji untuk membantu.

Yusof yang juga anggota polis bantuan di Bank Simpanan Nasional (BSN) menegaskan, mereka tidak meminta rumah percuma sebaliknya unit kediaman untuk mereka kembali membina kehidupan semula.

“Kami bukan penduduk setinggan, rumah yang kami sewa itu adalah milik penduduk Kampung Baru di atas tanah pusaka.

“Kami tak ramai, hanya enam keluarga dengan kira-kira 30 anggota keluarga termasuk bayi berusia empat bulan,” katanya.

Sementara itu, Wani Ardiani Marhadi, 46, yang mempunyai tiga anak berharap mereka mendapat khabar gembira esok.

“Kami tak minta rumah percuma, kami boleh sewa tapi amat terdesak untuk masuk ke rumah baru supaya dapat merancang semula kehidupan.

“Lagi pun anak-anak mula bersekolah lusa. Anak saya pun akan melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi, jadi kami harap sangat pihak berwajib dapat membantu,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Norizainan Johari, 53, pada malam kejadian, dia sudah tiba di kampung di Tanjung Karang, namun bergegas pulang ke Kampung Baru selepas dimaklumkan kejadian itu.

“Apa boleh buat, segala-galanya sudah tiada. Saya hanya sempat membawa tiga pasang baju untuk pulang ke Tanjung Karang dan merancang untuk kembali pada hari raya kedua sebelum pulang ke kampung saya di Batu Pahat, Johor pula,” katanya.

Sehubungan itu, dia berharap Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad dapat membantu secepat mungkin menyediakan penempatan baru kepada mereka.

Bakal pengantin Aisyah Isnani Afrizal Agus, 27, berkata, sepatutnya dia melangsungkan pertunangan pada 14 Julai ini.

“Semua persiapan sudah dibuat, barang-barang sudah dibeli tapi semuanya musnah. Jadi kami merancang untuk terus melangsungkan pernikahan sahaja 14 Disember nanti,” katanya.

Dalam kejadian itu, lima rumah sewa di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, Kuala Lumpur musnah.

Turut musnah, masing-masing sebuah kereta dan van serta enam motosikal.

Disiarkan pada: June 9, 2019 @ 8:47pm
d