mutakhir

Lima strategi banteras PATI

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) kini dalam usaha menghasilkan Pelan Strategik Penguatkuasaan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang lebih komprehensif dan menyeluruh sebagai langkah memperkukuh tadbir urus dan tambah baik sistem kerja penguatkuasaan sedia ada.

Menterinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Pelan Holistik Penguatkuasaan PATI adalah strategi penguatkuasaan yang komprehensif untuk mengatasi permasalahan kebanjiran PATI di negara ini dengan membabitkan kerjasama secara strategik pelbagai pihak.

Beliau berkata, kerjasama berkenaan membabitkan kementerian dan agensi; kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT); Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Kerjasama itu akan membantu secara aktif dalam membanteras PATI, objektif pelan ini adalah mewujudkan satu ekosistem yang tidak selesa kepada PATI.

“Pelan Holistik Penguatkuasaan PATI ini akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun dan akan menggariskan pelan tindakan membanteras PATI berdasarkan lima strategi atau fokus utama,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Katanya, lima utama berkenaan termasuk strategi operasi penguatkuasaan; strategi perundangan dan dasar penguatkuasaan; strategi kawalan sempadan dan pintu masuk; strategi pengurusan warga asing serta strategi media dan publisiti.

Muhyiddin berkata, strategi yang digariskan dalam Pelan Holistik Penguatkuasaan PATI ini berlunaskan bidang fokus yang dikenal pasti bersesuaian dengan peranan agensi terbabit.

“Ia dibangunkan bagi memberikan impak signifikan ke arah peningkatan imej penyampaian perkhidmatan awam terutamanya pasukan penguatkuasaan.

“KDN melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan terus menjalankan operasi penguatkuasaan secara berterusan di lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan warga asing,” katanya.

Katanya, sejak 1 Januari hingga 4 Jun lalu, sebanyak 7,940 operasi dijalankan membabitkan pemeriksaan hampir 100,000 orang warga asing.

Muhyiddin berkata, seramai 23,295 PATI diambil tindakan undang-undang dan daripada jumlah itu, warga Indonesia adalah PATI paling ramai ditangkap iaitu 8,011 (34 peratus) diikuti Bangladesh 5,272 (23 peratus) dan bakinya warga Myanmar, Filipina, Thailand dan lain-lain.

“Dalam tempoh lima bulan (1 Januari hingga 1 Jun 2019) juga, seramai 26,116 PATI sudah diusir ke negara asal.

“Dalam tempoh sama seramai 605 orang majikan diambil tindakan undang-undang di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya

Disiarkan pada: June 9, 2019 @ 8:54pm
d