mutakhir

Dua remaja maut motosikal rempuh kereta

Oleh Farah Suhaidah Othman

DUA remaja lelaki maut selepas motosikal jenis Yamaha Y125ZR dinaiki merempuh kereta Proton Saga di Kilometer 2, Jalan Tapah - Cameron Highlands di Tapah, malam tadi.

Dalam kejadian 11.30 malam itu, kedua-dua mangsa iaitu penunggang, K Yoganathan, 19, dan S Dinesh, 18, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tapah selepas dua jam bertarung nyawa akibat parah di beberapa bahagian badan.

Difahamkan, pemandu Proton Saga berusia 27 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Tapah menghala ke Cameron Highlands manakala kereta dipandu seorang lelaki itu dalam perjalanan menghala ke pekan Tapah.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggangi mangsa dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan yang dilalui kereta berkenaan.

“Selepas hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan, motosikal dinaiki kedua mangsa merempuh kereta berkenaan yang datang dari arah bertentangan.

“Kedua-dua mangsa yang parah dibawa ke Hospital Tapah untuk menerima rawatan sebelum penunggang motosikal meninggal dunia 1.21 pagi manakala pembonceng meninggal dunia pada 2.12 pagi.

“Bedah siasat terhadap mayat kedua-dua mangsa akan dijalankan 10 pagi ini di Unit Forensik Hospital Tapah,” katanya.

Wan Azharuddin berkata, semakan dijalankan polis mendapati penunggang motosikal berkenaan tidak mempunyai lesen.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: June 10, 2019 @ 8:36am
d