mutakhir

Lawan arus untuk hulur bantuan

Oleh Mary Victoria Dass

TINDAKAN sebuah kereta peronda polis (MPV) melawan arus di Kilometer 23 ke Kilometer 22.1 Lebuhraya Linkedua Arah Timur (Plaza Tol Perling) yang tular di media sosial semalam, adalah bagi memberi bantuan kepada mangsa kemalangan.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, kejadian berlaku pada jam 2.30 pagi, 9 Jun lalu, membabitkan MPV Unit Peronda Lebuhraya Zon Selatan yang bertugas melakukan rondaan mencegah kemalangan.

Beliau berkata, ketika berada berhampiran Plaza Tol Perling arah pusat bandar raya, beberapa pengguna jalan raya memaklumkan berlaku kemalangan tidak jauh dari tempat mereka berada.

Menurutnya, demi menjaga keselamatan pengguna jalan raya lain dan menawarkan bantuan, anggota berkenaan berpatah balik memandangkan lokasi kemalangan hanya diterangi lampu jalan dan jaraknya 1.5 kilometer dari Plaza Tol Perling.

Katanya, tindakan itu diambil bagi memberi respon awal dan segera dalam membantu mangsa dan mengawal penyuraian trafik di lokasi sebelum bantuan kecemasan selanjutnya.

“Semua langkah keselamatan diambil dengan memasang lampu mata arah (beacon light), siren dan menggunakan lorong kecemasan.

“Tindakan itu juga dilakukan selepas mendapati keadaan lalu-lintas ketika itu tidak sesak dan selamat untuk tindakan awal dan berdasarkan maklumat, tempat kejadian tidak jauh.

“Kedua-dua anggota peronda mengawal penyuraian lalu-lintas di tempat kemalangan dengan memperlahankan kenderaan selain membantu mangsa sementara pasukan paramedik tiba,” katanya.

Disiarkan pada: June 10, 2019 @ 11:33am
d