mutakhir

Kenduri kahwin 'terhangat'

Oleh Rosli Ilham

NIAT asal mereka hendak meraikan pengantin dan makan kenduri pada majlis kesyukuran, namun sebaik menyedari rumah di kawasan berdekatan sedang dijilat api, sebahagian daripada 80 tetamu bergegas ke kediaman berkenaan untuk cuba menyelamatkan barangan tuan rumah daripada musnah.

Begitupun, hasrat itu tidak kesampaian berikutan api terlalu marak dan merebak terlalu cepat sehingga memusnahkan rumah papan di Taman Setia Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), Dungun.

Jiran mangsa, Mohd Arif Anas, 29, ketika ditemui berkata, ketika kejadian, keluarganya sedang mengadakan kenduri kesyukuran sempena perkahwinan adik lelakinya.

“Ketika sibuk melayan tetamu, saya nampak api membakar rumah jiran dan segera menghubungi talian kecemasan.

“Saya dan tetamu jemputan bergegas menyelamatkan barangan dalam rumah tetapi gagal apabila api semakin marak,” katanya.

Sementara itu, mangsa, Mohd Rafiq Rasdi, 26, berkata kejadian berlaku jam 1.50 petang menyebabkan keluarganya mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM100,000.

“Macam nak pengsan bila lihat rumah kami musnah. Ketika kejadian, saya bersama ibu, bapa, isteri dan anak serta adik dalam perjalanan beraya di rumah saudara di Paka.

“Sebaik tiba di bandar Paka, saya menerima panggilan daripada jiran memaklumkan rumah kami terbakar.

“Kami bergegas pulang dan sebaik sampai, keseluruhan rumah musnah dan gagal menyelamatkan sebarang harta benda,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Menurutnya, dia terkejut dengan kejadian itu dan tidak mengetahui punca kebakaran sehingga rumah papan berusia 30 tahun musnah sama sekali.

“Sebelum meninggalkan rumah, kami dah pastikan semuanya dalam keadaan baik namun apa boleh buat saya sekeluarga perlu reda.

“Kami sekeluarga sangat sedih apabila Aidilfitri kali ini meninggalkan satu kenangan sukar digambarkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) AMBS, Penolong Penguasa Bomba Zul Azman Jamaludin ketika dihubungi, mengesahkan menerima panggilan pada jam 1.52 petang.

Menurutnya, seramai tujuh anggota bersama kekuatan sebuah jentera dan ambulans dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati kebakaran sudah memusnahkan kira-kira 80 peratus kediaman.

“Api dipadamkan sepenuhnya pada 2.58 petang dan operasi memadam kebakaran ditamatkan sepenuhnya pada 3.30 petang.

“Punca kebakaran dan kerugian sebenar masih dalam siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: June 10, 2019 @ 3:29pm
d