mutakhir

Berdakapan di sebalik tirai besi

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

“DAH tujuh tahun saya tak mendakap anak tetapi Alhamdulillah penantian berakhir ketika program dianjurkan ini,” kata Kak Lah, (bukan nama sebenar) 56, dari Dungun.

Kak Lah adalah seorang daripada 90 ahli keluarga kepada 30 penghuni Penjara Marang yang terpilih pada Program Jalinan Kasih Penghuni Penjara Marang, hari ini.

Pada program itu, seramai 30 penghuni Penjara Marang diberikan peluang bersua dengan keluarga masing-masing selama lebih tiga jam sambil menjamu selera sempena Aidilfitri.

Kak Lah berkata, kali terakhir dia berpeluang berjumpa dengan anak ketiganya pada 2012 melalui program sama.

“Anak menjalani hukuman penjara 13 tahun kerana kesalahan merogol pada 2010 dan sekarang sudah sembilan tahun berada di penjara.

“Banyak perubahan positif dilihat pada anak dan saya sangat bersyukur dengan perubahan itu.

“Biarpun terpaksa berpisah selama 13 tahun, namun ia berbaloi kerana anak yang sebelum ini agak nakal sudah berubah 100 peratus,” katanya.

Sementara itu, suami Kak Lah, Pok Mad (bukan nama sebenar), 56, mengakui sentiasa menjenguk anaknya setiap bulan.

“Anak saya seorang yang manja dengan keluarga malah rapat dengan lima adik-beradiknya lain, cuma sebelum ini dia terpengaruh dengan rakan seterusnya terjebak dengan kesalahan itu.

“Sebagai bapa, saya berterima kasih kepada Penjara Marang kerana sudah banyak membimbing anak menjadi insan berguna,” katanya.

Menurutnya, dia dan keluarga terharu apabila terpilih sekali lagi berjumpa anak mereka melalui program itu.

“Pertemuan setiap bulan dengan pertemuan pada hari ini tidak sama kerana hari ini kami dapat bersua dan berpelukan sambil menjamu selera,” katanya.

Sementara itu, Apih (bukan nama sebenar), 29, bersyukur kerana hasratnya untuk beraya bersama ahli keluarga tertunai tahun ini.

“Sudah sembilan tahun saya beraya di penjara dan akan beraya sebanyak empat kali Aidilfitri lagi sebelum dibebaskan pada 2023 nanti.

“Pengalaman pertama kali beraya di penjara pada 2010 masih segar dalam ingatan kerana ia paling menyedihkan dan menyeksa jiwa.

“Tetapi sekarang, saya sudah terbiasa kerana pelbagai pengisian agama diberi membuatkan hati menjadi lebih tenang dan matang,” katanya.

Menurutnya, dia mempelajari banyak ilmu berkaitan agama sepanjang berada di penjara sehingga mampu khatam al-Quran pada Ramadan lalu.

“Ilmu agama dan kemahiran menjahit serta menenun songket diperoleh sepanjang sembilan tahun berada di penjara tidak ternilai dan sangat berharga,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Penjara Marang, Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Ab Latiff berkata, program dianjurkan sudah menjadi tradisi pihaknya sejak dulu.

“Cuma sepanjang dianjurkan tahun ini, jumlahnya adalah paling ramai iaitu 30 penghuni berbanding 10 hingga 15 penghuni sahaja sebelum ini.

“Tujuan kami menganjurkan majlis ini ialah untuk memberi peluang kepada penghuni dan keluarga beraya bersama.

“Pertemuan itu juga boleh menjadi motivasi kepada penghuni untuk berubah selain berasa disayangi dan tidak terpinggir,” katanya.

Disiarkan pada: June 10, 2019 @ 6:42pm
d