mutakhir

'Aidilfitri penuh bermakna bagi kami'

Oleh Mary Victoria Dass

“AIDILFITRI ini penuh bermakna bagi kami kerana meraikan Muhammad Hazreel Mikhail yang genap lapan tahun pada 4 Jun lalu (sehari sebelum Aidilfitri),” kata ibu pesakit kulit genetik Epidermolysis Bullosa (EB), Noor Halimaton Hashim, 38.

Noor Halimaton berkata, dia bersyukur kerana anaknya semakin kuat bagi melawan penyakitnya walaupun doktor menyatakan tiada rawatan khusus untuk penyakit itu.

Menurutnya, penyakit kulit genetik tidak berjangkit dialami Muhammad Hazreel Mikhail Hizar mengakibatkan seluruh tubuh anaknya terpaksa berbalut berkemungkinan besar sepanjang hayatnya.

Katanya, penyakit dialaminya juga mengakibatkan persekolahannya tertangguh.

“Bukan mudah apa yang dilalui anak kami namun dia berusaha untuk terus melawan penyakitnya supaya dapat meneruskan kehidupan seperti kanak-kanak normal lain.

“Keinginannya juga adalah seperti kanak-kanak lain namun disebabkan penyakitnya, pergerakannya terbatas.

“Kulit Muhammad Hazreel menjadi terlalu sensitif dan mengeluarkan gelembung air dan melecet sehingga membuatkan keadaan jari kaki dan tangannya yang sebelum ini normal mula bercantum akibat terlalu kerap melecet,” katanya.

Noor Halimaton berkata, dia bersyukur kerana penderitaan Muhammad Hazreel mendapat perhatian Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) yang mengunjungi serta menyerahkan barangan keperluannya.

Menurutnya, secara tidak langsung, ia meringankan beban keluarganya serta memberi keceriaan kepada Muhammad Hazreel Mikhail.

“Setiap tiga bulan sekali, saya yang juga suri rumah dan suami bekerja sebagai tukang masak akan membawa Muhammad Hazreel menjalani pemeriksaan doktor di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan beban kami diringankan hasil sumbangan wang tunai rakan-rakan.

“Saya juga berharap bantuan bulanan MAIJ akan diteruskan kerana ia digunakan untuk perbelanjaan Muhammad Hazreel Mikhail. Pada masa sama, saya mengharapkan keajaiban berlaku supaya anak kesayangan kami dibebaskan dari penyakit ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Zakat, Baitulmal dan Wakaf MAIJ, Dr Mohd Azman Mohsin berkata, pihaknya menyalurkan sejumlah bantuan segera, lampin pakai buang dan beberapa barangan bagi keperluan kanak-kanak berkenaan.

“Ini adalah antara kes penyakit kulit yang kronik pernah saya temui dan MAIJ akan berusaha bagi meringankan beban keluarga berkenaan.

“Diharap keadaan kanak-kanak itu semakin baik,” katanya yang mengunjungi keluarga berkenaan di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, baru-baru ini.

Disiarkan pada: June 10, 2019 @ 8:00pm
d