mutakhir

Buat apa bawa peluru?

Oleh Zuliaty Zulkiffli

PASUKAN Gerakan Am (PGA) Batalion 18 menahan seorang lelaki warga Myanmar kerana memiliki 13 butir peluru jenis 12 bore di kawasan kebun getah berhampiran jalan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand, dekat Bukit Kayu Hitam, semalam.

Lelaki berusia 35 tahun itu ditahan pada 8.40 malam selepas anggota PGA terbabit bertembung dengannya dalam kawasan ladang berkenaan.

Pegawai Pemerintah Batalion 18 PGA, Superintendan Khalid Saion berkata, hasil pemeriksaan mendapati lelaki itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Beliau berkata, pemeriksaan menemui 13 butir peluru jenis 12 bore itu dipercayai untuk kegunaan senapang patah yang disembunyikan dalam sebuah beg sandang miliknya.

“Lelaki itu ditahan dan semua barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk tindakan lanjut.

“Batalion 18 PGA, Bridged Utara memulakan tugasan sejak 1 Jun lalu untuk menjalankan tanggungjawab di sepanjang kawasan Ops Wawasan Kedah/Perlis dan kawalan keselamatan di Kompleks, Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) Malaysia di Bukit Kayu Hitam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Khalid berkata, selain itu pihaknya juga bertanggungjawab menjaga ICQS Padang Besar di Perlis, ICQS Kota Putra dan ICQS Wang Kelian di Perlis.

Beliau berkata, pihaknya akan berusaha untuk mengekang sebarang aktiviti yang menyalahi Undang-Undang yang berlaku di sepanjang kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

Disiarkan pada: June 10, 2019 @ 8:38pm
d