mutakhir

Sanggup kerja apa sahaja

Oleh Mary Victoria Dass

BATU PAHAT: “Ada yang menyatakan hasrat mahu menjadikan anak saya sebagai anak angkat. Namun saya tekad menjaga mereka semua walaupun hidup dalam kemiskinan,” ujar ibu tunggal, Liza Wati Hassim, 36.

Ibu kepada empat anak itu berkata, tahun ini keluarganya meraikan Aidilfitri kali pertama tanpa suaminya yang meninggal dunia pada 14 April lalu akibat barah peti suara tahap empat.

Menurutnya, bagaimanapun dia terpaksa menguatkan semangat demi membesarkan anak berusia lima bulan, tujuh tahun, 12 tahun dan 14 tahun.

“Ketika saya melahirkan anak bongsu pada 13 Januari lalu, suami berusia 44 tahun memang sudah sakit dan terlantar di hospital.

“Menyedari dugaan saya, ada hamba Allah SWT yang tampil menawarkan bantuan selain ada yang menyatakan sanggup menjadikan anak saya sebagai anak angkat mereka dan sedia menawarkan bantuan kewangan kepada keluarga namun saya menolaknya secara baik.

“Bukan saya berniat mahu melihat anak saya membesar dalam keadaan serba kekurangan namun saya menyayangi mereka selain berpegang kepada pesanan arwah suami supaya tidak menyerahkan mereka. Sejak arwah suami sakit hingga meninggal dunia, saya tabah dan terus berdoa Tuhan beri saya kekuatan,” katanya.

Liza Wati berkata, buat masa ini dia menumpang di rumah ibunya di Rengit, Batu Pahat namun sedang mencari rumah sewa yang mampu dibayar untuk keselesaan anaknya.

Menurutnya, walaupun kesempitan wang dia masih boleh menghantar tiga anaknya ke sekolah kerana tidak mahu mereka ketinggalan dalam pelajaran supaya boleh mempunyai masa depan cerah.

“Saya belum mendapat pekerjaan dan perlu menjaga anak bongsu.

“Saya bersyukur menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 dan Majlis Agama Islam Johor (RM200) sebulan banyak membantu meringankan beban kami sekeluarga.

“Cabaran utama saya apabila anak bongsu terputus bekalan susu hingga memaksa saya meminta simpati ramai,” katanya.

Liza Wati berkata, nekad mencari pekerjaan sesuai seperti kerja kilang bagi memastikan dapat menampung keperluan anak pada masa depan.

“Mereka adalah dunia saya dan tanpa mereka, kehidupan saya menjadi suram dan saya sanggup melakukan apa saja kerja halal.

“Saya berharap Allah memberi saya peluang menaik taraf kehidupan keluarga dan saya berdoa dapat berdikari untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua keluarga,” katanya.

Berkongsi sambutan Aidilfitri tahun ini, Liza Wati berkata, dia dan anak hanya menyambut secara sederhana di rumah.

“Saya tidak mampu membelikan mereka keperluan hari raya yang lengkap namun menyambut Aidilfitri secara ala kadar.

“Saya rasa bersyukur kerana anak juga memahami keadaan saya dan tidak pernah meminta apa-apa seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada keluarga berkenaan menerusi akaun bank Liza Wati di Agro Bank 2005861000081044.

Disiarkan pada: June 11, 2019 @ 5:30am
d