mutakhir

Asrama pusat jagaan sempit

Oleh Mohd Amin Jalil

SEREMBAN: Keadaan asrama yang terhad dan sempit tidak dapat memberikan keselesaan kepada 13 anak yatim di Pusat Jagaan Anak Yatim Walidaina (PJAYW) yang beroperasi di Taman Satria Senawang, di sini.

Pengasasnya Mohd Zatullah Kamarudin berkata, penubuhan PJAYW pada awal 2017 adalah berorientasikan kebajikan bagi memelihara, menjaga dan membela nasib anak yatim serta miskin melalui pendidikan berteraskan Islam.

Mohd Zatullah berkata, rumah teres setingkat yang disewa daripada penduduk setempat dan dijadikan asrama anak yatim itu agak sempit dan kurang selesa.

“Ketika ini keadaan asrama sempit manakala kemudahan bilik air juga terbatas.

“Bilik yang menempatkan warden juga kurang selesa, namun setakat ini itu saja kemudahan yang ada.

“Selain itu, hanya ada satu ruang membaca di luar rumah untuk penghuni mengulangkaji pelajaran setiap hari.

“Kami tidak dapat menerima lebih ramai anak yatim walaupun ada permintaan kerana tempat terhad,” katanya.

Mohd Zatullah berkata, pihaknya sedang berusaha mengumpul dana bagi mencari tapak lain di kawasan berhampiran yang lebih selesa untuk menempatkan anak yatim berusia antara tujuh hingga 14 tahun itu.

Beliau berkata, setakat ini ramai yang menyumbang dana tetapi belum mencukupi untuk menampung keperluan mencari tapak asrama baharu.

“Dana yang ada hasil sumbangan pelbagai pihak itu sekadar mencukupi untuk menampung kos operasi bulanan termasuk makan minum, sewa, yuran persekolahan pelajar dan kos utiliti lain membabitkan sebanyak RM8,000 sebulan.

“Namun kami bersyukur kerana masih ramai yang prihatin dan membantu pusat ini dalam pelbagai bentuk termasuk barangan makanan,” katanya.

Menyentuh mengenai idea awal penubuhan pusat itu, Mohd Zatullah yang dibantu isterinya, Azmahani Basir, 26, berkata, usaha mereka itu adalah bagi menyempurnakan amanat ibu bapa mentuanya yang meninggal dunia pada 2007 dan 2016.

“Pengalaman menjadi tenaga pengajar pusat pengajian al-Quran dan rumah kebajikan membantu saya menguruskan rumah penjagaan ini.

“Saya akui ia bukan tugas mudah terutama kami orang biasa, tetapi rasa bersalah pula jika saya tidak membantu mereka,” katanya.

Beliau berharap hasratnya untuk menempatkan anak yatim itu di tempat yang lebih selesa tercapai selain mahu melahirkan ramai anak yatim berjaya dalam pendidikan dan bergelar hufaz.

Disiarkan pada: June 11, 2019 @ 6:00am
d