mutakhir

Kan dah kena cekup

Oleh Zuliaty Zulkiffli

ENAM lelaki warga Indonesia dan Myanmar ditahan Bahagian Penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah dalam operasi Ops Bersepadu di sekitar Sik dan Jitra semalam.

Operasi dari 2 hingga 6 petang itu dilakukan di kolam ternakan ikan dan sekatan jalan raya di dua daerah itu.

Pengarah JIM Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, 13 warga asing dari pelbagai negara diperiksa namun hanya enam daripadanya ditahan.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, tiga daripadanya warga Myanmar dan tiga lagi warga Indonesia berusia antara 30 hingga 40 tahun.

“Siasatan awal mendapati mereka melakukan pelbagai kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 iaitu tinggal lebih masa dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

“Mereka ditahan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke Depot Imigresen Belantik di Sik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zuhair berkata, operasi itu disertai tujuh pegawainya serta dibantu 56 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan 21 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Selain itu operasi turut disertai tujuh anggota Jabatan Alam Sekitar (JAS), dua anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), 18 anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan lima dari PUSPAKOM,” katanya.

Disiarkan pada: June 11, 2019 @ 11:02am
d