mutakhir

Jumpa mayat dalam parit

Oleh Siraj Mohd Zaini

PENDUDUK di sekitar Telok Panglima Garang, di Kuala Langat, gempar apabila menemui mayat lelaki di dalam parit di hadapan rumah di Batu 12, Jalan Klang-Banting, di sini, kelmarin.

Difahamkan, mayat itu ditemui seorang lelaki yang ingin memancing ikan di kawasan berkenaan kira-kira 5 petang.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Azizan Tukiman berkata, sepasukan anggota dan pegawai polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat.

Menurutnya, berdasarkan keterangan saksi dan penduduk setempat, mayat disahkan adalah lelaki berusia 59 tahun yang sering mengutip tin serta botol kosong di kawasan berkenaan.

“Mangsa sudah lama tidak tinggal dengan isteri dan tiga anaknya kerana kuat minum arak serta dibebani hutang.

“Mangsa juga pernah dihantar ke rumah kebajikan, namun mangsa selalu bergaduh dengan kakitangan dan akhirnya hidup sendirian,” katanya kepada Harian Metro.

Azizan berkata, mangsa juga menghidapi penyakit sawan dan berdasarkan rekod, dia baru saja keluar wad Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

“Pasukan forensik mengesahkan punca kematian tiada kaitan dengan unsur jenayah dan jatuh sendiri ke dalam parit.

“Mayat dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Disiarkan pada: June 11, 2019 @ 1:55pm
d