mutakhir

3 kedai terbakar serentak

Oleh Asrol Awang

PEMILIK tiga premis perniagaan gempar apabila menyedari lot kedai milik mereka terbakar di Jalan Mahkota, Kuantan, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1.40 pagi itu mengakibatkan kedai runcit terbakar 60 peratus, kedai tekstil 30 peratus dan lot kedai kosong mengalami kesan terbakar 10 peratus.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya menerima panggilan jam 1.43 pagi dan tiba di lokasi kejadian tujuh minit kemudian.

“Operasi memadam kebakaran disertai 19 pegawai dan anggota bersama tiga jentera termasuk sebuah tangki air turut digunakan untuk mengawal kebakaran.

“Ia membabitkan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan dan sebuah jentera dari BBP Indera Mahkota,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, api berjaya dikawal kira-kira 10 minit kemudian dan berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 2.30 pagi.

Katanya, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan ketika kejadian dan punca kebakaran serta kerugian masih dalam siasatan.

“Siasatan sedang dijalankan bahagian forensik JBPM Pahang dan taksiran kerugian akan diperoleh sebaik semua keterangan pemilik premis direkodkan.

“Kejadian juga sudah dimaklumkan kepada polis,” katanya.

Disiarkan pada: June 11, 2019 @ 1:58pm
d