mutakhir

Mengaku salah curi, bunuh lembu

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

SEORANG lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Parit, hari ini, atas dua pertuduhan iaitu melakukan khianat membunuh dan mencuri lembu milik orang lain, 4 Jun lalu.

Tertuduh Azizi Naziri, 32, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nazratul Natrah Mohd Yusuf.

Turut dituduh secara berasingan ialah rakannya, Mohamad Zaki Zakaria, 57, atas pertuduhan melepaskan tembakan dan menyebabkan kematian lembu berkenaan.

Bagaimanapun, rakannya mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dan minta dibicarakan.

Bagi pertuduhan pertama, Azizi didakwa melakukan khianat iaitu membunuh seekor lembu betina milik P Kanuappan manakala pertuduhan kedua, dia didakwa mencuri lembu berkenaan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukannya di Ladang Sadang, 4 Jun lalu.

Azizi didakwa mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan bagi pertuduhan melakukan khianat yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi pertuduhan mencuri pula, dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fairuz Abd Mutalib manakala Azizi diwakili peguam, Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid.

Ahmad Shamil Azad dalam rayuannya memohon mahkamah memberikan hukuman denda minimum memandangkan anak guamnya yang turut menternak lembu keliru dan menyangka lembu berkenaan adalah miliknya.

Nazratul Natrah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin bagi kesalahan melakukan khianat manakala bagi kesalahan mencuri pula, tertuduh dihukum penjara tujuh hari dari tarikh tangkap dan denda RM2,000.

Sementara itu, Mohamad Zaki yang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melepaskan tembakan dan menyebabkan kematian haiwan itu dibenarkan jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin.

Nazratul Natrah kemudiannya menetapkan 31 Julai ini sebagai sebutan semula kes.

Disiarkan pada: June 11, 2019 @ 2:58pm
d